KLANG - Suspek utama kes bunuh seorang pengawal keselamatan dan bapa saudaranya awal bulan ini di sebuah pusat penyembelihan ayam, di sini, akan didakwa di Mahkamah Majistret Klang, esok.
Difahamkan, lelaki berusia 30 tahun itu yang ditahan di Teluk Intan, Perak, pada 5 Ogos lalu akan menghadapi dua pertuduhan membunuh pengawal keselamatan Syed Mohd Fazrul Syed Mohd Ridhuan, 23, dan bapa saudaranya, Wan Amir Abu Hassan, 48, di Kampung Kuantan pada 1 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, mengesahkan pihaknya sudah selesai menyiasat kes itu dan akan membawa suspek ke Kompleks Mahkamah Klang di sini.
Katanya, lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Sebelum ini, media melaporkan, mayat Syed Mohd Fazrul dan Wan Amir ditemui dalam sebuah bilik di pusat penyembelihan itu oleh pemilik premis berkenaan yang juga majikan mangsa pada 1 tengah hari 3 Ogos lalu.
Ketika ditemui, kedua-dua mangsa mengalami banyak kesan kecederaan di seluruh badan mereka dan dipercayai sudah meninggal dunia sekurang-kurangnya selama dua hari.
Sepasukan polis yang menjejaki suspek yang juga rakan kepada Syed Mohd Fazrul di rumah ibu lelaki itu di Teluk Intan sebelum dimaklumkan dia dirawat di Hospital Teluk Intan selepas berkelakuan agresif.
Selain itu, polis turut menemui sebilah parang dan baju yang mempunyai kesan darah, dipercayai dipakai oleh suspek ketika kejadian. - Apakes
0 comments:
Post a Comment