KUALA SEPETANG - Seorang nelayan maut tercekik selepas terbelit tali pukat udang yang sedang dinaikkannya di perairan Pulau Pasir Hitam, di sini, petang semalam.
Mangsa dipercayai sudah tidak bernyawa ketika dibawa naik ke daratan dengan dadanya luka besar dipercayai terkena benda tajam pada peralatan yang digunakan.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Teo Ho Hin, 61, dikatakan masuk ke dalam laut untuk membawa naik pukat udang yang dipasang di perairan berkenaan dalam keadaan enjin bot dihidupkan.
Rakan mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, difahamkan badan mangsa terperangkap pada tali pukat yang digunakan sehingga membelit leher, dada dan tangan kanannya.
"Melihat mangsa terperangkap, saya segera mematikan enjin dan terus memotong tali pukat itu untuk cuba menyelamatkan dia, namun kawan saya sudah tidak bernyawa," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Katanya, dia segera membawa mayat mangsa ke jeti di Kuala Sepetang dan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Beliau berkata, mereka berdua keluar ke laut kira-kira jam 3 pagi kelmarin untuk menangkap udang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah, berkata bedah siasat di Hospital Taiping pagi ini mengesahkan kematian mangsa akibat lemas kerana terjerut.
"Siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi. - Apakes
0 comments:
Post a Comment