Maut Ketika Balik Dari Jaga Anak Di Hospital




MARANG - Pasangan suami isteri yang dalam perjalanan pulang selepas menjaga anak di hospital maut selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kilometer 24 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Marang, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Yusof Mohamad, 69, yang memandu PERODUA Kancil parah di muka dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isterinya, Rokiah Sulong, 61, yang cedera dalaman badan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Ketika kejadian, pasangan berkenaan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuantan, Pahang selepas hampir dua minggu menjaga anak sulung mereka, Mohd Zamri, 46, yang dirawat di HSNZ, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki pasangan berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok di bahu jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, mayat suami isteri terbabit dibawa ke Unit Forensik HSNZ Kuala Terengganu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Apakes

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment