KOTA SAMARAHAN - Empat sekeluarga terdiri daripada datuk, bapa kandung dan dua bapa saudara yang didakwa merogol seorang gadis berusia 19 tahun di sebuah kampung di Serian sejak enam tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara antara 25 hingga 55 tahun dan 24 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat.
Kesemua tertuduh masing-masing berumur 57, 42, 26, dan 28 tahun, mengaku bersalah di hadapan Hakim Marutin Pagan setelah pertuduhan terhadap mereka dibacakan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
Datuk mangsa dijatuhi hukuman penjara 25 tahun bagi setiap kesalahan dan 24 kali sebatan setelah dia mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan.
Bapa mangsa pula yang menghadapi dua pertuduhan manakala seorang daripada bapa saudaranya yang berhadapan satu pertuduhan turut dijatuhi hukuman penjara 25 tahun bagi setiap pertuduhan dan sebatan 24 kali setiap seorang.
Seorang lagi bapa saudara yang berdepan pertuduhan merogol mangsa sebanyak dua kali, juga dituduh merogol adik perempuan mangsa sebanyak dua kali dan dijatuhi hukuman penjara berjumlah 55 tahun serta 24 kali sebatan.
Hakim menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun ke atas kesalahan merogol mangsa dan 30 tahun lagi ke atas kesalahan merogol adik mangsa.
Beliau turut memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara ke atas keempat-empat tertuduh itu berjalan serentak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pegawai Pendakwa Nor Azhari Yusof manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.
Walaupun kesemua tertuduh merayu supaya hukuman ke atas mereka diringankan dan tidak dikenakan sebatan tetapi hakim berpendapat kesemua tertuduh wajar menerima hukuman setimpal kerana keseriusan jenayah yang mereka lakukan.
Keempat-empat tertuduh ditangkap pada 11 Ogos lalu di rumah mereka di Serian setelah polis menerima laporan tentang kejadian rogol berkenaan terhadap mangsa dan adiknya yang berusia sembilan tahun sejak enam tahun lalu.
Perbuatan tertuduh terbongkar setelah hasil pemeriksaan di Hospital Serian mendapati mangsa mengandung 25 minggu. - Apakes
0 comments:
Post a Comment