Aishah Azman Tak Guna Pengaruh Afiq Muiz




Pendatang baharu iaitu Aishah Azman nampaknya semakin dikenali sejak drama lakonannya, Namaku Bedah berjaya melonjakkan namanya sebagai pelakon.

Gembira dengan penerimaan positif terhadapnya, Aishah berkata, dia juga bersyukur kerana mampu menapak sebagai pelakon tanpa dibayangi oleh abangnya yang juga aktor Afiq Muiz.

Kata wanita berusia 21 tahun ini, sebagai pendatang baharu dia ingin berdiri tanpa dibayangi oleh Afiq dan tidak pernah menggunakan nama dan pengaruh abangnya untuk mendapat peluang berlakon.

"Rasanya tidak ramai tahu kami adalah adik-beradik dan saya tidak pernah menggunakan pengaruhnya untuk mendapat tawaran berlakon.

"Meskipun ada mengetahui hubungan kami ia tidak pernah beri jalan mudah dan saya sendiri bermula bukan sebagai adiknya.

"Saya ingin berdiri atas kaki sendiri dan bukannya menumpang populariti Afiq dan Alhamdulillah usaha saya mula menampakkan hasil positif," katanya.

Dalam pada itu, Aishah berkata, keengganan dikaitkan dengan Afiq bukanlah bererti hubungan mereka dingin sebaliknya tidak mahu mengambil kesempatan.

"Bukanlah bergaduh tetapi ingin berdiri atas kaki sendiri. Saya sendiri menggunakan nama bapa sebagai nama pentas manakala Afiq guna nama sendiri.

"Alhamdulillah Afiq banyak beri sokongan kepada saya dan jika ada sebarang masalah saya memang akan rujuk kepadanya sebagai seorang pelakon lebih senior," ujarnya.

Sementara itu, Aishah berkata, dia terbuka sekiranya ditawarkan berlakon dengan Afiq namun akan menolak sekiranya perlu melakonan pasangan kekasih.

"Kalau boleh elakkan berlakon dengan Afiq terutama kalau watak itu memerlukan kami bercinta dan kalau sebagai adik-beradik, kawan atau musuh, saya okey.

"Malah sebelum ini kami pernah terlibat dalam sebuah drama iaitu Tika Suria Mendongak dan kami berlakon sebagai musuh," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Aishah berkata dia teruja apabila diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama bersiri berjudul Cinta Hati Batu untuk siaran TV3 tidak lama lagi.

Kata bekas graduan Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini, dia menganggap pemilihannya itu sebagai satu rezeki dan mengambil peluang itu untuk membina namanya dalam industri lakonan.

"Saya ambil peluang itu kerana ia rezeki apabila diberi kepercayaan oleh pihak produksi.

"Harus saya akui juga sedikit tertekan kerana watak diberikan agak berat kerana perlu banyak menangis dan bermain dengan emosi dalaman.

"Pun begitu saya anggap itu sebagai cabaran dalam memberikan yang terbaik," katanya yang bergandingan dengan Ashraf Muslim dan Fadlan menerusi drama itu. - Apakes

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment