Wanita Maut Nahas Mungkin Dibunuh?




KOTA KINABALU - Polis mengklasifikasikan kes kematian seorang wanita mangsa kemalangan di Jalan Tuaran Bypass di sini, semalam mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa dipercayai dibunuh.

Ini susulan siasatan awal mempercayai berlaku pertengkaran di dalam kereta PERODUA Kelisa dinaiki mangsa sebelum kemalangan itu berlaku.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, Lisabilah Dulima, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata polis menerima laporan daripada saudara mangsa pada jam 10.15 pagi semalam.

"Siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakannya termasuk seorang lelaki dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing dengan menaiki sebuah kereta jenis PERODUA Kelisa.

"Ketika di lokasi kejadian dipercayai berlaku pertengkaran di dalam kereta antara mangsa dan empat suspek yang juga rakannya," katanya dalam kenyataannya.

Beliau berkata, susulan itu empat rakan mangsa termasuk tiga wanita yang berusia antara 27 hingga 34 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut.

"Pemandu PERODUA Kelisa turut cedera pada tangan kanan dan sedang mendapat rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH) manakala tiga lagi tidak cedera.

"Dua perempuan dan satu lelaki kini direman selama tujuh hari hingga 14 Julai ini untuk siasatan lanjut manakala pemandu kereta masih mendapat rawatan di hospital," katanya.

Beliau berkata, polis ingin meminta kepada saksi yang melihat kejadian ini supaya tampil memberikan keterangan membantu siasatan. Chandra berkata, polis menafikan yang mangsa terbabit dalam kes ragut atau samun.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak memviralkan berita yang tidak benar dan mendapatkan fakta sebenar daripada polis.

"Siasatan sedang dibuat dari semua sudut termasuk kesalahan trafik dan motif kejadian masih dalam siasatan polis.

Hasil siasatan akan dimajukan ke pejabat Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya. - Apakes

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment