GERIK - Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut manakala seorang pembonceng parah, dalam dua kemalangan di Jalan Raya Gerik-Jeli, dekat sini, yang mana jarak antara kedua-dua kejadian hanya tujuh kilometer.
Kejadian pertama di Kilometer (KM) 13 jalan raya berkenaan pada jam 11.30 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis BMW GS seorang diri dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan.
Mangsa dikenali sebagai Amran Shuib, 50, beralamat Nombor 4, Tingkat Siakap 1, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata siasatan awal mendapati motosikal dinaiki mangsa terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum terperosok ke dalam parit.
"Mangsa yang cedera parah di kepala, patah tangan dan kaki kiri dikejarkan ke Hospital Gerik (HG), tetapi meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di hospital itu" katanya.
Ismail berkata, seorang lagi mangsa penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dikenali sebagai Shahrim Saad, 50, berasal dari Simpang Empat, Permatang Buloh, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Mangsa yang juga seorang pemandu lori tangki menunggang motosikal dari Gerik ke Jeli dan dibonceng oleh anaknya dikenali sebagai Muhammad Irfan Farihin Shahrim, 24 .
Kejadian juga berlaku juga jam 11.30 pagi di KM 20 jalan raya itu ketika mangsa yang menunggang motosikal BMW F800R ke Kelantan secara konvoi, sebelum terbabas.
"Mangsa cedera teruk di kepala selepas terlanggar penghadang besi di tepi jalan, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut," katanya. Katanya, semua kes masih lagi dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Apakes
0 comments:
Post a Comment