Fattah Berang Dengan Sikap Peminat Yang 'Over'
Terpalit dengan perbalahan antara kumpulan peminat, Lofattah dan Fattzura dalam kontroversi percutiannya, Fattah Amin, 27, sekali lagi mengingatkan mereka supaya jangan terlalu 'over' atau bertindak melampaui batas.
Menyedari ada peminat terlalu obses sehingga sanggup bertikam lidah di laman sosial, bintang drama rantaian Hero Seorang Cinderella (HSC) itu bagaimanapun berharap sikap itu dihentikan.
"Saya tak salahkan kelompok itu sebab mereka adalah peminat. Kalau mereka nak berfantasi (mengenai kisah percintaan dirinya), itu hak masing-masing.
"Apabila menyentuh pasal jodoh, saya hanya manusia biasa dan tidak tahu dengan siapa jodoh saya.
"Cuma, peminat jangan terlalu berlebih-lebih sehingga jadi perbalahan... ini tidak elok untuk industri," katanya ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri F&N bersama peminatnya, di sini.
Terbaru, Fattah terpalit dalam kontroversi percutiannya bersama Fazura dan beberapa teman lain di Koh Samui, Thailand apabila Neelofa juga dikhabarkan memilih destinasi percutian sama.
Dalam perkembangan lain, Fattah memberitahu, dia tidak berhak memilih heroin yang mahu digandingkan.
"Saya tak boleh rancang dengan siapa saya nak bekerja atau digandingkan. Malah, saya tidak boleh 'demand' dalam perkara ini kerana semuanya diaturkan pihak produksi dan stesen televisyen (TV).
"Saya seorang pelakon yang hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan... selebihnya terpulang kepada peminat.
"Saya lebih suka peminat hargai pelakon kerana bakat, bukan menimbulkan cerita begini (kontroversi)," katanya.
Dalam projek terbaru, Fattah digandingkan sekali lagi dengan Nur Fazura dalam super telefilem berjudul Wanita Terindah, yang diadaptasi daripada novel, Wanita Terakhir untuk saluran Astro First. - Apakes
0 comments:
Post a Comment