Sanggup Tahan 'Rindu' Berlakon Demi Anak - Yana


Sanggup Tahan 'Rindu' Berlakon Demi Anak - Yana

KUALA LUMPUR - Bukan menjauhi dunia lakonan yang pernah memperkenalkan namanya, namun kelahiran anak sulung, Aisy Mateen, sembilan bulan lalu memaksa Yana Samsudin supaya bijak menyusun jadual.

Disebabkan itu, isteri kepada Fadzil Zahari ini lebih cenderung menerima tawaran mengacara kerana jadual kerjanya yang lebih fleksibel dan tidak menuntut komitmen di luar terlalu lama. Pengacaraan juga kata Yana, memberinya lebih ruang untuk menguruskan cahaya mata yang masih memerlukan perhatian rapi.

"Saya masih minat berlakon, tetapi ketika ini, saya terpaksa utamakan bidang pengacaraan kerana ia lebih serasi dengan masa. Agak sukar untuk saya ke lokasi penggambaran kerana anak masih menyusu badan.

"Tidak dinafikan, saya memang rindu untuk kembali berlakon tetapi saya terpaksa menahannya demi anak," kata Yana yang mengendalikan program bual bicara, Bismillah Ad-Dhuha siaran Astro Oasis setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9 pagi bermula 11 Mei lalu.

Kerinduan Yana itu bagaimanapun, sedikit terubat apabila ditawarkan membawa watak pembantu dalam drama bersiri, Jadikan Aku Yang Kedua yang menampilkan Amyra Rosli dan Amar Baharin sebagai pelakon utama.

"Ia drama pertama yang saya jayakan selepas melahirkan Aisy. Lebih setahun tidak berlakon, saya akui agak sukar untuk kembali menyesuaikan diri di lokasi penggambaran, terutama apabila perlu menghafal semula skrip," katanya.

Pada masa sama, Yana turut terbabit dalam program berbentuk majalah, Rezeki Sunnah selain mengusahakan syarikat pengurusan artis, Prokuya Studios Sdn Bhd dan Butik Ayana by Yana Samsudin.

Yana juga sering memenuhi jemputan sebagai moderator untuk berkongsi mengenai perniagaan, kerjaya dan kehidupan berkeluarga. - Apakes

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment