Nelayan Terjun Laut Untuk Selamatkan Diri Dilibas Parang
MERSING - Dua nelayan tempatan dari daerah ini bertindak terjun ke dalam laut selepas salah seorang daripadanya cedera dilibas sebilah parang oleh seorang nelayan warga Kemboja.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Cyril Edward Nuing berkata kejadian tersebut berlaku berhampiran perairan Pulau Pemanggil, petang semalam.
"Lebih kurang jam 8 pagi semalam dua lelaki Melayu dan seorang lelaki Kemboja keluar menangkap ikan di perairan Pulau Pemanggil.
"Sekitar jam 4 petang suspek bertindak mencederakan seorang lelaki Melayu di bahagian leher menyebabkan kedua-dua lelaki Melayu bertindak melompat dari bot menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian.
Difahamkan ketiga-tiga lelaki termasuk suspek bekerja dengan majikan dari Mersing.
Menurut Cyril, suspek kemudiannya bertindak meninggalkan kedua-dua mangsa di tengah laut dengan menaiki bot.
"Kedua-dua mangsa kemudiannya diselamatkan oleh nelayan lain dan dibawa ke Pulau Pemanggil.
"Mangsa kemudiannya dibawa ke Pulau Tioman untuk rawatan," katanya.
Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang.
Mengulas lanjut Cyril memberitahu kejadian tersebut masih dalam siasatan dan punca kejadian itu masih belum dapat dikenal pasti.
"Kita masih belum dapat maklumat dari mangsa dan suspek tapi suspek sudah pun dikenal pasti dan usaha mengesan bagi menangkapnya sedang giat dijalankan.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya. - Apakes
0 comments:
Post a Comment