DUNGUN - Seorang daripada empat nelayan yang hilang sejak malam Rabu lalu dekat Kuala Dungun ditemui lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat jam 8.50 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, berkata mayat yang ditemui itu disahkan sebagai Mohd Nazri Yaacob, 37.
Mereka hilang apabila bot gentian kaca dinaiki terbalik dipukul ombak besar di muara kuala itu.
Katanya, pasukan operasi yang menyambung gerakan mencari dan menyelamat (SAR), menemui mayat mangsa dalam jarak 300 meter dari tempat bot mereka terbalik.
"Jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.
Tiga lagi yang masih belum ditemui ialah Mohd Zawawi Mohamad, 27; Che Mohd Afandi Che Ismail, 34, dan Abdul Wahab bin Zakaria, 44 tahun.
Sementara itu, adik Mohd Nazri, yang terselamat dalam kejadian itu, Mohd Shahrin, 33, berkata, dia bersyukur pada Allah kerana jenazah abangnya ditemui walaupun sedih kerana tidak dapat diselamatkan.
Katanya, dia sangat sedih kerana rapat dengan arwah abangnya yang banyak mengajarnya erti pengorbanan sebagai nelayan.
"Selama 15 tahun kami bersama menjadi nelayan dan tidak pernah berpisah dan kehilangannya amat saya rasai.
"Kami sentiasa bersama susah atau senang. Ketika saya sakit dia akan bantu, begitu juga sebaliknya," katanya.
Mohd Shahrin berkata, jenazah arwah abangnya itu akan dibawa ke kampung asalnya di Kampung Dalam Rhu, Kelantan untuk dikebumikan. - Apakes
0 comments:
Post a Comment