Pengsan Akibat Terperangkap Dalam Lif
KLANG - Seramai 12 penghuni sebuah pangsapuri, di sini, cemas apabila terperangkap hampir sejam dalam lif di Blok B Pangsapuri Villamas, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, lif yang dinaiki mangsa tersekat di tingkat empat bangunan setinggi tujuh tingkat itu, menyebabkan dua daripada mereka pengsan akibat sesak nafas.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.32 pagi tadi daripada penghuni lain yang menyedari kejadian itu.
"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengumpil pintu lif yang tersekat dengan menggunakan tuil besi (crowbar) dan mengeluarkan semua mangsa.
"Kami dimaklumkan mangsa sudah terperangkap dalam lif yang tersekat lebih 30 minit sebelum bantuan tiba.
"Bagaimanapun, hanya seorang mangsa yang pengsan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), manakala seorang lagi enggan dirujuk ke hospital selepas sedar sebaik diselamatkan," katanya. - Apakes
0 comments:
Post a Comment