SUNGAI BULOH - Empat cedera termasuk dua kanak-kanak selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya membabitkan tujuh kenderaan di persimpangan Jalan Kuala Selangor berhampiran pasaraya The Store, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu membabitkan sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux, empat kereta jenis Toyota Vios, Honda HRV, Honda City, Honda BRV dan dua motosikal jenis Suzuki Smash dan Yamaha Legenda.
Kemalangan dipercayai berpunca daripada Toyota Hilux berkenaan yang datang dari arah Kepong, terbabas ke arah jalan bertentangan dan melanggar tiang elektrik seterusnya melanggar keenam-enam kenderaan berkenaan yang sedang berhenti di lampu isyarat.
Kesan pelanggaran menyebabkan Toyota Hilux terbabit terbalik dan menghempap salah sebuah kereta seterusnya menyebabkan jalan terhalang dan kesesakan teruk.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad, berkata pemandu Toyota Hilux terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.
"Siasatan telah kita jalankan di lokasi kejadian, ketika kemalangan, jalan berada dalam keadaan kering dan aliran trafik sesak.
"Mangsa yang tercedera sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, sementara kenderaan yang terbabit kemalangan berjaya dialihkan lebih kurang jam 8.15 pagi, lalulintas kembali lancar jam 8.20 pagi," katanya dalam satu kenyataan. - Apakes
0 comments:
Post a Comment