KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan kes anggota polis Bukit Aman yang ditemui mati bersama seorang wanita Vietnam dipercayai kekasihnya, di sebuah bilik di Taman Bukit Ria, dekat Cheras di sini, semalam, sebagai bunuh diri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata pengesahan itu dibuat hasil laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas kedua-dua mayat berkenaan serta ujian sisa tembakan (GSR) oleh pasukan forensik.
Katanya, punca kematian adalah disebabkan kecederaan akibat tembakan di kepala.
"Berdasarkan keputusan hasil bedah siasat, kita boleh mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa mati kerana membunuh diri.
"Ia juga disokong dengan hasil ujian GSR yang dijalankan apabila menemui kesan sisa tembakan pada tangan kedua-dua mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, anggota berusia 26 tahun yang bertugas bersama Pasukan Khas Siasatan Bersepadu Bukit Aman itu ditemui mati dengan kesan tembakan pada bahagian kiri kepala oleh rakan sekerjanya.
Turut ditemui mati di dalam bilik itu adalah seorang wanita berusia 19 tahun dengan kesan tembakan pada bahagian kanan kepalanya sambil memegang sepucuk pistol.
Sebelum itu, abang mangsa dikatakan menghubungi rakan sekerja anggota berkenaan dan meminta bantuannya untuk pergi memeriksa kediaman mangsa selepas bimbang apabila dia gagal dihubungi sejak beberapa hari lalu.
Sementara itu, menurut sumber, mangsa dipercayai membunuh dirinya terlebih dulu sebelum wanita itu mengambil pistol berkenaan lalu menembak di kepalanya. - Apakes
0 comments:
Post a Comment