Peneroka Ditemui Mati Dikelar
Peneroka Ditemui Mati Dikelar
BANDAR SERI JEMPOL - Seorang peneroka maut akibat dikelar dipercayai oleh anaknya sendiri di rumah mereka di FELDA Lui Timur di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata dalam kejadian pada jam 10.30 malam itu, S Valaytham, 73, ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh anggota polis peronda yang datang ke rumah itu.
Katanya, polis menerima panggilan kecemasan daripada jiran terbabit yang sebelum itu terdengar pertengkaran serta jeritan mangsa sebelum mendapati lelaki itu terbaring di ruang tamu rumah berkenaan.
"Mangsa meninggal dunia tidak lama selepas ketibaan polis dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat, " katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, siasatan awal mendapati suspek dipercayai marah dan menyerang mangsa selepas tidak mendapat sejumlah wang yang dimintanya. Sementara itu, Noorzainy berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki bernama V Santrapos, 45, atau Mohamad Nazri Abdullah, beralamat di Taman Telok Merbau, Sungai Pelek, Selangor, bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. - Apakes
0 comments:
Post a Comment