Pasar Gantung Terbakar
TAWAU - Lebih 80 peniaga hilang tempat berniaga selepas lima gerai menempatkan lot perniagaan mereka di Pasar Gantung di Jalan Stephen Tan dekat bandar Tawau, di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.
Kebakaran bermula kira-kira jam 4.45 pagi itu memusnahkan lebih separuh lot niaga di pasar berkenaan dengan kebanyakannya membabitkan premis menjual barangan cenderamata, kraftangan dan pakaian.
Sebahagian besar peniaga tidak sempat menyelamatkan barang jualan masing-masing. Api marak dengan cepat sehingga merebak ke bangunan dua tingkat bersebelahan menyebabkan lima premis perniagaan serta sebuah hotel bajet turut terbakar.
Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan cedera. Pemilik gerai cenderamata dan kraftangan di Pasar Gantung, Yusran Sukur, 52, berkata kebakaran sebelum subuh itu berlaku terlalu pantas menyebabkan mereka gagal menyelamatkan barang perniagaan yang diusahakan sejak 40 tahun lalu.
"Api marak dengan cepat, sebaik mendapat tahu mengenai kebakaran ini saya bergegas ke sini namun sebaik tiba keseluruhan gerai sudah musnah terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Pegawai Bomba Kanan 1 Faisal Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.50 pagi sebelum menghantar 26 anggota bersama lima jentera ke lokasi.
Operasi turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA, Jabatan Air, Majlis Perbandaran Tawau serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Beliau berkata, pasukan bomba menghadapi kesukaran dalam operasi memadamkan kebakaran kerana tekanan air rendah. Bomba dan Penyelamat terpaksa bantuan lori tangki Jabatan Air daerah.
"Api berjaya dikawal pada jam 7:23 pagi manakala punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya. - Apakes
0 comments:
Post a Comment