Padah Tunggang Lawan Arus
TAWAU - Seorang pembonceng motosikal maut manakala penunggangnya parah apabila motosikal mereka yang ditunggang melawan arus bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Persimpangan Bulatan Jalan Damai, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 4.18 pagi itu, lelaki berusia 20 tahun itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tawau manakala penunggang, yang juga lelaki berumur 24 tahun, cedera parah di kepala dan tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun, pemandu pacuan empat roda, dan penumpangnya tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal yang menunggang melawan arus sebelum bertembung dengan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat pertembungan itu penunggang dan pembonceng tercampak ke atas jalan raya sebelum diseret oleh pacuan empat roda terbabit.
"Pembonceng yang tidak memakai topi keledar cedera parah di kepala dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
"Penunggang yang cedera parah kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal disyaki mabuk dan sampel darah telah diambil untuk ujian kimia.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Apakes
0 comments:
Post a Comment