Doktor Gigi Hilang Di Gunung
GUA MUSANG - Seorang doktor gigi dilaporkan hilang dalam perjalanan menuruni Gunung Yong Belar di sini, petang semalam.
Dr Muhammad Iqbal Ariffin, 29, yang teruja sepanjang kembara mendaki gunung berkenaan, dikesan hilang daripada kumpulannya, kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Beliau yang bertugas di Pejabat Kesihatan Negeri Melaka, didapati hilang daripada kumpulan 31 orang.
Seorang peserta, Aieda Abu Talib, 46, berkata Dr Muhammad Iqbal kelihatan gembira ketika tiba di puncak Gunung Yong Belar pada jam 2.30 petang semalam, selepas mereka memulakan pendakian pada jam 7.30 pagi.
Bagaimanapun, katanya, dalam perjalanan turun selepas sejam berehat di puncak gunung, Dr Muhammad Iqbal dikesan tiada bersama kumpulan.
"Dalam perjalanan turun, saya dan Dr Muhammad Iqbal berada di tempat keempat dan kelima manakala kumpulan kami tidak turun serentak.
"Kami berehat seketika dan bercerita mengenai keseronokan kerana dapat sampai ke puncak gunung.
"Selepas tujuh minit berhenti rehat, Dr Muhammad Iqbal meneruskan perjalanan bersendirian sebelum gagal dikesan.
"Kumpulan kami melancarkan gerakan mencari tetapi gagal menemuinya sebelum bergerak turun dan tiba ke kaki gunung pada jam 8 malam," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, apa yang membimbangkan ialah Dr Muhammad Iqbal tiada bekalan makanan ketika perjalanan turun manakala telefon bimbitnya kehabisan bateri.
Katanya, laporan polis dibuat di Pondok Polis Lojing pada jam 4.22 pagi tadi.
Gerakan mencari mangsa dibuat serta-merta membabitkan lima anggota polis dan masing-masing empat anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). - Apakes
0 comments:
Post a Comment