Aidil Aziz Ambil Iktibar Kesilapan Lalu
Pelakon, Aidil Aziz, 30, kini lebih berhati-hati dalam memilih kawan, selain belajar daripada kesilapan lalu supaya namanya tidak kembali terpalit dalam isu negatif.
Bermuhasabah dengan mendekatkan diri kepada Allah, pelakon drama Lara Terindah itu mula sedar siapa kawan dan lawan selepas ditahan kerana kes dadah pada September tahun lalu.
"Saya sekarang lebih berhati-hati memilih kawan dan menghargai mereka yang rapat. Sebagai manusia, saya cuba perbaiki kelemahan diri.
"Apa yang berlaku dulu membuka mata saya untuk mengenal siapa kawan sebenar. Banyak perkara yang saya belajar daripada kes itu dan memilih kawan adalah satu daripadanya.
"Mulai sekarang, saya cuba elakkan diri daripada mendekati mereka yang membawa pengaruh negatif kerana tak mustahil kita akan terheret sama," katanya.
Pada 24 September tahun lalu, Aidil bersama dua yang lain ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atas dakwaan mengedar dadah jenis ganja seberat 465.61 gram.
Aktor terbabit bagaimanapun, dibebaskan mahkamah pada Disember lalu.
"Saya elakkan orang yang cuba menghasut saya. Saya akui, dulu saya silap memilih kawan sehingga terjebak dalam kes ini hingga reputasi seni dan nama keluarga terjejas.
"Sekarang, saya lebih menjaga hubungan dengan Allah dan keluarga untuk memotivasikan diri. "Ketika ditahan dulu, ramai yang mula menjatuhkan hukum tanpa mengetahui fakta sebenar," katanya.
Hampir enam bulan menyepi daripada bidang seni selepas mahkamah menggugurkan kes terhadapnya, Aidil yang ditemui di set penggambaran drama 40 episod berjudul Villa Ghazara di sini, enggan menoleh ke belakang lagi dan ingin meneruskan kembali karier seninya.
Menganggap kes terbabit sebagai hikmah buatnya, Aidil berkata banyak tawaran yang diterima selepas dibebaskan selain sibuk mengusahakan produk makanan ringan berasaskan mangga. - Apakes
0 comments:
Post a Comment