Zizan Kekal Sado Demi 'Inspektor Sani'
Jadual penggambaran Polis Evo 2 yang tertunda beberapa kali tidak mematahkan semangat pelakonnya, Zizan Razak, 32, untuk meneruskan rutin di gimnasium bagi mendapatkan tubuh sasa. Katanya, tiada masalah mengikuti permintaan produksi dari segi memantapkan bentuk fizikal biarpun pembikinan filem susulan Polis Evo yang mencatat kutipan pecah panggung itu terpaksa dilajak ke Julai ini.
"Sejak dimaklumkan watak Inspektor Sani perlu tampak sasa, saya mula menjalani rutin di gimnasium akhir 2016. Biarpun penggambaran sepatutnya bermula Februari lalu, sesi senaman dan angkat beban masih saya amalkan.
"Cuma tidaklah seperti dulu kerana sebelum ini saya ada masa tiga bulan saja untuk membentuk badan memandangkan jadual ke set sekitar Mac lalu. Aktiviti senaman pada bulan puasa ini saya ubah sedikit rutin mengikut kesesuaian.
"Lagi pun bukanlah saya taksub mahu sado sebaliknya ia perlu untuk karektor Inspektor Sani. Ini juga cabaran untuk memastikan saya benar-benar bersedia sebelum masuk ke lokasi.
"Antara persediaan lain sudah pasti saya melapangkan jadual supaya boleh fokus terhadap penggambaran filem nanti," katanya yang bakal mengerjakan umrah dan menyambut 1 Syawal di Makkah buat kali kedua bermula 14 Jun ini.
Dalam perkembangan lain, Zizan baru saja selesai menjalani penggambaran drama Jula Juli Putus Cinta bersama Mira Filzah yang juga arahan Osman Ali.
0 comments:
Post a Comment