SonaOne Terkenang Memori Beraya Di Perancis



SonaOne Terkenang Memori Beraya Di Perancis

Kenangan meraikan 1 Syawal di perantauan sekitar tahun 1996 akan kekal menjadi memori terindah dalam hidup penyanyi rap, SonaOne, 29. Walaupun sudah lama berlalu, penyanyi berdarah campuran Melayu-Perancis itu mengakui, pengalaman itu begitu bermakna kerana ia mungkin tidak diulangi lagi.

Pemilik nama Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach itu pernah menyambut Aidilfitri di tanah kelahiran bapanya di Perancis selama dua tahun, ketika dirinya baru berusia lapan tahun. Meskipun masih terlalu kecil, semua kenangan itu masih tersimpan kemas dalam ingatannya.

Mengimbau memori itu, anak kelahiran Kuantan, Pahang ini berkata, keluarganya memanfaatkan 1 Syawal sebagai waktu terbaik untuk memperkenalkan budaya Melayu kepada penduduk tempatan.

"Ibu akan memasak sajian yang dihidangkan pada pagi raya seperti nasi impit dan rendang, selain nasi lemak. Pada hari itu, kami menjemput jiran dan penduduk berdekatan datang ke rumah untuk mencuba makanan Melayu.

"Sambil meraikan hari raya bersama, kesempatan itu juga diambil untuk memperkenalkan budaya Melayu. Jiran saya begitu teruja mempelajari perkara baharu. Saya juga seronok menjadi perhatian rakan-rakan apabila berbaju Melayu ke sekolah," katanya.

Mengulas mengenai juadah kegemaran, SonaOne berkata, lemang dan rendang hasil air tangan ibu serta neneknya menjadi sajian yang paling dinanti setiap kali tiba 1 Syawal.

Katanya, ibunya handal menyediakan rendang daging manakala rendang ayam masakan nenek sentiasa menjadi pilihan kerana memenuhi seleranya.

"Saya juga gemar biskut raya, terutama cornflakes madu.

Dari segi pakaian, saya lebih selesa memadankan baju Melayu dengan denim. Bukan tidak suka berpakaian Melayu lengkap bersongkok dan samping, tetapi saya mementingkan keselesaan kerana perlu membantu ibu di dapur.

"Cuma, tahun lalu, saya tidak terlalu sibuk kerana ibu menyambut raya di luar negara dan hanya pulang ke tanah air pada raya kedua.

Saya pula beraya dengan ibu saudara dan sepupu," katanya. Sejak mempunyai pendapatan sendiri, SonaOne juga tidak lupa menyediakan sedikit peruntukan untuk dihulurkan kepada orang tua dan tetamu kecil pada pagi lebaran.

"Sejak tiga tahun lalu, saya sudah mula memberi duit raya kepada ibu dan bapa, selain saudara mara dan tetamu kanak-kanak yang berkunjung ke rumah.

"Seperti tahun lalu, Aidilfitri ini juga mempunyai senarai penerima duit raya tersendiri," katanya yang menyediakan peruntukan sekitar RM5,000 untuk meraikan hari mulia. - Apakes
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment