Jupe Lawan Kanser Hingga Nyawa Terakhir
Jupe Lawan Kanser Hingga Nyawa Terakhir
JAKARTA - Julia Perez tetap bersemangat berjuang melawan kanser serviks tahap empat yang dideritainya sejak tiga tahun lalu sebelum dijemput menemui Ilahi, kira-kira 11 pagi tadi.
Malah, sehari sebelum pemergiannya, penyanyi dangdut sensasi yang turut menyerlah sebagai pelakon itu masih bertarung nyawa apabila terpaksa menjalani pembedahan kerana mengalami masalah perut.
Jupe atau nama lengkapnya, Yulia Rachmawati, 36, terpaksa menjalani pembedahan besar pada perutnya kerana mengalami masalah pencernaan.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik adiknya, Nia Anggia di laman sosial, Instagram ketika Jupe sedang dibawa masuk ke bilik pembedahan masih yakin kakaknya itu akan terus bertahan dan kuat melawan kesakitannya selepas tiga kali terlepas daripada maut.
"Insya-Allah, kali ini kami berharap kakak akan selamat," tulisnya. Namun, harapan besar Nia dan keluarganya itu berakhir dengan kehampaan apabila Jupe menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM), selepas dimasukkan ke pusat rawatan itu sejak pertengahan Februari lalu.
Sejak itu, keadaan kesihatannya terus merosot dan Julia pernah beberapa kali kritikal sebelum disahkan meninggal dunia.
Memulakan kerjaya sebagai model di Perancis, Jupe seterusnya mencuba bakat sebagai penyanyi dangdut sebelum melebarkan sayap seninya sebagai pelakon dan pengacara. Ketika di Perancis, Jupe bertemu model, Damien Perez seterusnya mendirikan rumah tangga dengan jejaka itu pada tahun 2002 tetapi bercerai enam tahun selepas itu.
Namanya pernah memasuki senarai 100 Wanita Seksi apabila tampil menghiasi majalah di negara itu. Selepas beberapa tahun di negara orang, Jupe mencuba nasib dalam industri hiburan Indonesia dengan membintangi sinetron sekitar tahun 2002.
Antara produksi dibintanginya termasuk Cinta Lokasi, Komedi Nakal, Penjaga Pantai, Lepas Malam, Maafkan Aku, Rahasia Ilahi, Hidayah, Doa, Mimpi Manis, dan Perempuan Teraniaya.
Semua itu tidak pernah membuatnya puas. Ketika namanya masih memuncak, Jupe menerima berita mengejutkan apabila disahkan menghidap kanser serviks atau barah pangkal rahim pada tahun 2014.
Dugaan berita itu, Jupe ke Singapura untuk menerima rawatan dan terpaksa memperlahankan kegiatan seninya. Selepas dua tahun, kesakitan yang ditanggungnya semakin merosot apabila kanser itu memasuki tahap keempat dan menjalar ke organ lain. - Apakes
0 comments:
Post a Comment