Imam Muda Asyraf Terkejut Komen Peminat
Pemenang program realiti pencarian Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, mengaku pada awalnya agak keberatan untuk menerima tawaran mengacarakan program Meletop, Selasa lalu.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf berpendapat, program berkenaan tidak bersesuaian dengan imej dirinya.
Bagaimanapun, beliau bersetuju untuk menjalankan tanggungjawab berkenaan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak produksi dan mereka berjanji menyediakan isi kandungan bersesuaian supaya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
"Terus-terang, apabila pihak produksi meminta saya menggantikan Nabil yang ketika ini sedang mengerjakan umrah, untuk mengacarakan Meletop, saya cuba menolaknya dengan baik.
"Selain tidak sesuai dengan imej saya yang lebih kepada program bercorak keagamaan, saya juga bukanlah orang yang pakar mengenai industri hiburan tanah air.
"Bagaimanapun, selepas mereka meyakinkan konsep program pada malam itu bukanlah menjuruskan kepada gosip semata-mata, selain pengisiannya juga bersesuaian dengan Ramadan, saya menerimanya," katanya.
Kata Asyraf, 33, beliau juga terkejut dengan komen positif netizen terhadap kemunculannya dalam program terbabit. "Memang saya risau dengan komen penonton dan saya juga takut dikecam.
Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila 90 peratus daripada komen diterima menyukai apa yang saya tampilkan dalam program itu," ujarnya.
Ditanya mengenai gandingannya Siti Nordiana yang menggantikan tempat Neelofa pada rancangan berkenaan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah Pengkhususan Fiqh dan Usuluddin dari Universiti Malaya ini berkata, ia bukanlah kali pertama mereka ditemukan dalam sesebuah rancangan kerana pernah bekerjasama mengendalikan sebuah program berkonsepkan agama.
0 comments:
Post a Comment