Dua Maut, 4 Cedera Kereta Bertembung
Dua Maut, 4 Cedera Kereta Bertembung
TANGKAK - Dua maut manakala dua cedera apabila Proton Wira bertembung dengan Honda Jazz di Kilometer 42 Jalan Muar-Segamat di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa yang maut ialah pemandu Proton Wira, A N Philip Michael, 31, dan adiknya, A N Eric Michael, 24, yang duduk di bahagian hadapan.
Kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan, manakala ibu bapa mereka yang duduk di bahagian belakang cedera. Kemalangan itu turut menyebabkan pemandu dan penumpang Honda Jazz cedera.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dinaiki mangsa dari arah Segamat ke Tangkak dipercayai hilang kawalan dan memasuki arah bertentangan, sebelum bertembung Honda Jazz terbabit.
"Kemalangan turut menyebabkan ibu dan bapa mangsa di tempat duduk belakang cedera termasuk seorang daripadanya patah kedua-dua kaki.
"Sementara itu, pemandu Honda Jazz dan isterinya yang mengandung tujuh bulan cedera di muka dan tulang belakang," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohad Idris berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat pada jam kira-kira jam 2 petang tadi, sebelum dapat dituntut oleh ahli keluarga mereka.
"Dua mangsa yang cedera dari Proton Wira kemudian dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, manakala mangsa dari Honda Jazz dihantar ke Hospital Tangkak," katanya. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang melihat kejadian supaya tampil membantu siasatan.
0 comments:
Post a Comment