Bas Ekspres Jatuh Gaung Selepas Bertembung
Bas Ekspres Jatuh Gaung Selepas Bertembung
GUA MUSANG - Seramai 14 penumpang sebuah bas ekspres melalui detik cemas apabila kenderaan yang mereka naiki jatuh gaung selepas bertembung dengan treler di Kilometer 27, Jalan Gua Musang - Kuala Krai, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, dalam kemalangan jam 1 pagi membabitkan bas ekspres, treler dan sebuah MPV, tiada kemalangan jiwa, sebaliknya hanya tiga penumpang cedera ringan. Sementara pemandu bas, Nik Hassan Mahmud, 47, cedera di muka dan dirawat di Hospital Gua Musang (HGM).
Pemandu treler bersama kelindan dan enam beranak dalam sebuah kereta Toyota Estima juga cedera ringan. Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata kemalangan berlaku ketika bas ekspres itu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.
Katanya, sebaik sampai di lokasi kawasan selekoh, bas dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
Berikutan kemalangan itu, bas hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung dan keadaan tempat duduk pemandu remuk teruk. Sebuah MPV Toyota Estima dinaiki enam beranak dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur berada di belakang bas itu turut berlanggar dengan treler terbabit.
Penumpang bas itu keluar dari kenderaan menerusi cermin yang pecah untuk menyelamatkan diri sebelum dibantu orang ramai. - Apakes
0 comments:
Post a Comment