KUCHING - Suspek dan mangsa dalam kes mi goreng beracun di sebuah sekolah menengah di Sri Aman, kini diletakkan dalam pemantauan rapi kaunselor sekolah berkenaan.
Kedua-dua mereka yang juga rakan sekelasnya dalam Tingkatan Satu, digantung sekolah selepas kes berkenaan disiasat polis.
Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon berkata, kedua-dua pelajar berusia 13 tahun itu digantung sekolah sehingga 31 Julai lalu.
"Mereka sepatutnya kembali ke sekolah pada 1 Ogos, namun menurut laporan yang dikemukakan oleh pihak pengurusan sekolah, suspek telah memulakan kelas seperti biasa dan dia tidak mempunyai masalah untuk meneruskan persekolahannya.
"Bagaimanapun, mangsa masih belum kembali ke sekolah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, jabatan menganggap kes itu serius dan tidak berkompromi dengan pelajar yang melakukan kesalahan, terutamanya membuli.
Pada 20 Julai lalu, mangsa dikejarkan ke Hospital Sri Aman selepas memakan mi goreng bercampur racun lipas yang diberikan oleh suspek.
Siasatan awal mendapati suspek membawa bekas mi goreng dan kotak racun lipas ke sekolah.
Ketika polis memulakan siasatan terhadap kes itu, datuk suspek pula membuat laporan polis yang mendakwa cucunya melakukan tindakan sedemikian kerana tidak tahan dibuli mangsa.
Beliau mendakwa, mangsa sering memeras wang dan makanan dari cucunya setiap hari.
Sementara itu, siasatan polis terhadap kes itu hampir lengkap sementara menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata laporan kimia itu dijangka siap dalam tempoh satu atau dua bulan. - Apakes
0 comments:
Post a Comment