Eyka Farhana Senang Berkawan Dengan Lelaki Berusia
Soalan cinta dan teman lelaki tidak dapat dielakkan bagi gadis muda apatah lagi yang memiliki wajah jelita seperti Eyka Farhana.
Bagaimanapun, pelakon Juvana ini dilihat rapat dengan seorang jejaka yang jauh lebih berusia berbanding dirinya. Hubungan terjalin di antara Eyka dan jejaka itu dikatakan berlangsung agak lama, cuma ia tidak pernah diceritakan secara terbuka kepada umum.
Ditanya mengenai sejauh mana pengesahan cerita yang didengar membabitkan hubungan cintanya dengan jejaka diperkatakan itu, Eyka tegaskan selagi belum ada perkara yang sahih antara mereka, dia tidak mahu membuka mulut.
“Cukuplah kalau saya katakan, saya senang berkawan dengannya seperti mana juga saya berkawan dengan rakan-rakan yang lain. Bagaimanapun untuk mengatakan dan mengesahkan ‘benar kami bercinta’ saya tidak berani.
“Pada saya soal cinta dan hubungan ini hanya boleh diperkatakan andai ada ikatan seperti pasangan itu sudah bertunang dan mahu bernikah.
“Selagi perkara nyata seperti itu tidak berlaku terhadap saya dan dia, saya tidak mahu bercakap mengenainya.
“Tambah pula sebagai orang perempuan, rasanya kurang manis untuk saya menjaja mengenai hubungan cinta. Saya takut kalau hari ini saya pukul canang dan kelak tidak ada jodoh antara kami, kelak saya yang dikecam,” katanya.
Bagi Eyka, dalam usia masih muda dan kerjaya seni baru hendak berkembang, dia tidak mahu lagi memikirkan soal cinta serta perkahwinan. Kecuali andai jodohnya sudah ditetapkan.
“Bagilah saya ruang dan peluang untuk membina kerjaya. Saya mahu berjaya sebagai pelakon dan mahu peminat menghargai bakat yang saya pertaruhkan.
“Sebagai pelakon sudah tentu saya mempunyai impian tersendiri. Saya mengejar untuk menjadi pelakon terbaik dan untuk mendapatkannya perjalanan saya masih jauh. Banyak lagi perlu saya pelajari dan menggali ilmu.
“Lagipun saya berlakon untuk membantu keluarga. Jadi saya mahu membina hidup dan kerjaya. Selepas berjaya memperoleh apa yang saya cari, barulah saya mahu memikirkan soal cinta dan rumah tangga,” katanya.- Apakes
0 comments:
Post a Comment