Tunku Tun Aminah Sah Bergelar Isteri
Anakanda Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim sah bergelar isteri kepada Dennis Muhammad Abdullah dengan sekali lafaz, hari ini.
Dennis Muhammad menyempurnakan lafaz nikah itu dalam bahasa Malaysia pada Istiadat Akad Nikah yang berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.
Puteri tunggal Sultan Johor dan suaminya itu dinikahkan oleh Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin yang diperkenankan oleh Sultan Ibrahim Iskandar untuk menjadi wakil rasmi baginda di majlis itu.
Keluarga pengantin wanita dan lelaki bertukar hantaran itu yang dibawa masuk oleh anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN).
Antara hadiah yang disampaikan keluarga Diraja Johor buat pengantin lelaki adalah cincin emas,al-Quran, sejadah, persalinan Baju Melayu Teluk Belanga dan sampin, sirih junjung, kek, bunga rampai dan halwa maskat.
Terdahulu, berlangsungnya Istiadat Pertunangan dan majlis itu disaksikan Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, ahli keluarga dan rakan terdekat.
Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Hadir sama, ibu bapa pengantin lelaki, Martin dan Henriette Verbaas, ahli keluarga dan rakan terdekat dari Belanda.
Selesai Istiadat Akad Nikah, pengantin lelaki kemudian dibawa ke bilik tingkat atas istana bagi menyempurnakan Istiadat Menyarung Cincin.
Dennis Muhammad kemudian menyarungkan cincin perkahwinan ke jari manis tangan kanan Tunku Tun Aminah serta memberikannya mas kahwin sebanyak RM22.50.
Pasangan Diraja itu kelihatan anggun dan tampan mengenakan busana tradisional Johor, Baju Kurung Teluk Belanga dan Baju Melayu Teluk Belanga serba putih.
Dennis Muhammad mengenakan songkok dengan dua keronsang yang sama digunakan oleh Almarhum Sultan Iskandar pada hari perkahwinannya, yang diberikan oleh bondanya, Sultanah Aminah Ungku Ahmad.
Istiadat perkahwinan itu berlangsung dengan menampilkan segala keunikan, kekayaan warisan serta tradisi dan adat istiadat Diraja Johor.
Kira-kira 1,200 tetamu akanmenghadiri majlis ringkas penuhbermakna itu yang turut dipancarkan secara langsungkepada orang ramai menerusi skrindigital gergasi di Dataran Bandaraya dan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru. - Apakes
0 comments:
Post a Comment