Uqasha Senrose Mula Fikir Soal Jodoh?
Meraikan hari jadi yang ke-25 tahun pada 6 Julai lalu, pelakon jelita, Uqasha Senrose mengaku mula memikirkan soal jodoh.
Namun, Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen mendakwa dia belum memiliki jejaka yang layak digelar kekasih.
"Iyalah, tahun depan saya sudah 26 tahun, jadi saya lihat sudah sesuai masanya bagi saya memikirkan soal jodoh dengan lebih serius.
"Saya harap hal jodoh itu akan dipermudahkan. Saya tak menolak... InsyaAllah," katanya.
Malam tadi, Uqasha mengadakan majlis hari lahir bertemakan gaya Coachella iaitu festival muzik musim panas di Amerika Syarikat (AS) di Glam Hall, Mercu Mustapha Kamal di Damansara Perdana, Petaling Jaya.
Kakak kepada Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose itu juga bersyukur lakonannya dalam drama Hero Seorang Cinderella (HSC), baru baru ini menerima maklum balas positif.
Melakonkan watak antagonis yang bertukar menjadi baik menerusi karakter Puteri Emallyn, ramai yang memuji dan tak kurang juga bersimpati dengan lakonannya.
"Alhamdulillah atas peluang memegang watak berkenaan. "Berlakon drama HSC adalah peluang indah buat saya untuk terus belajar dan memperbaiki mutu lakonan dengan baik," katanya.
Mengenai majlis hari lahirnya itu, Uqasha memberitahu, acara itu juga menjadi majlis rumah terbuka Aidilfitri.
"Alang-alang sambut hari lahir, saya kira ia macam rumah terbuka. Saya juga mahu meraikan teman media yang selama ini tak jemu menyokong kerjaya seni.
"Saya tak pernah ada masalah atau jurang dengan teman media seperti mana yang dikatakan sebelum ini di mana kononnya saya mahu menjauhi mereka," katanya.
Pada majlis itu juga, Uqasha turut mengundang beberapa teman artis membuat persembahan seperti Adeline Tsen dan Hael Husaini. Hael menyanyikan lagu Jampi yang digemari Uqasha.
Antara teman artis yang hadir adalah Nelydia, Raysha, Riz Armin, Ramona Zam Zam, Ryzal Jaafar, Fikry Ibrahim, Emma Maembong, Daler Yusuf dan ramai lagi. - Apakes
0 comments:
Post a Comment