Tangki Air Atas Bumbung Kompleks Teruntum Pecah
KUANTAN - Empat cedera manakala sekurang-kurangnya 10 motosikal dan tiga kereta rosak dalam runtuhan tembok batu akibat tangki air pecah di bumbung Kompleks Teruntum, pada jam 1 tengah hari, hari ini.
Seorang mangsa, Sheikh Mohd Hanafi Sheikh Ali, 50, berkata ketika beliau bersama isteri Norziah Abdul Ghafar, 51, sedang berjalan menuju ke pusat beli belah Kuantan Parade sebelum melalui jalan belakang Kompleks Teruntum.
"Tiba-tiba saya dan isteri terdengar bunyi dentuman yang kuat dan lihat runtuhan tembok batu dan air melimpah dari tingkat empat bangunan mengenai kami.
"Mujur saya dan isteri sempat lari dan berjaya mengelak daripada ditimpa runtuhan tembok batu berkenaan, " katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau dan isteri mengalami luka kecil di bahagian lutut, siku dan tapak tangan akibat terjatuh ketika mengelak ditimpa runtuhan tembok batu itu.
Beliau turut membuat laporan polis mengenai kejadian itu kerana motosikal model Modenas Kriss miliknya turut terjejas akibat dihempap runtuhan batu.
"Tiada rezeki motosikal saya rosak teruk.... yang penting nyawa saya dan isteri selamat, " katanya.
Tinjauan ke lokasi mendapati kerja penutupan kawasan kejadian sedang dilakukan anggota bomba dan penyelamat balai Kuantan selain proses mengalihkan kenderaan yang terjejas turut dilakukan. - Apakes
0 comments:
Post a Comment