Perdaya Guna Gambar Wanita Cantik
ISKANDAR PUTERI - Tindakan seorang wanita menggunakan gambar perempuan cantik untuk menipu kenalan menerusi aplikasi Wechat sebelum memeras ugut mangsa terbongkar apabila ditahan selepas menculik seorang pekerja kilang.
Turut ditahan, empat lelaki yang dipercayai bersubahat dengan suspek untuk menculik sebelum memeras ugut bagi mendapatkan wang daripada rakan mangsa.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata semua suspek berusia 24 hingga 31 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Gelang Patah dekat sini, bermula jam 11.30 pagi Isnin lalu.
Katanya, mangsa yang juga pekerja kilang warga India berusia 31 tahun berkenalan dengan suspek wanita itu Sabtu lalu menerusi aplikasi Wechat.
"Isnin lalu, mangsa berjumpa dengan suspek sebelum ditahan bersama empat lelaki lain.
"Kira-kira jam 11.30 pagi hari yang sama, rakan senegara mangsa yang bertugas sebagai jurutera menerima panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali meminta wang tebusan bagi membebaskan mangsa.
"Susulan laporan jurutera itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan lima suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Noor Hashim berkata, polis turut merampas telefon bimbit, komputer riba, beg tangan, peralatan elektrik dan sebuah kereta.
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan. - Apakes
0 comments:
Post a Comment