Penganggur Dihukum Gantung Sampai Mati




AYER KEROH - Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah menculik dan membunuh seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, tiga tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Firuz Jaffril ke atas Low Chiew Mun, 52, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes.

Chiew Mun, berasal dari Taman Merdeka yang memakai baju-T berkolar terus terduduk sejurus mendengar keputusan mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menahan M Gunaseelam, 13, dengan niat untuk meminta wang tebusan RM20,000 dan bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 (Akta 365) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, atau sebat jika tidak dikenakan hukuman mati.

Pertuduhan kedua pula, Chiew Mun didakwa menyebabkan kematian terhadap mangsa sama dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, antara jam 6.30 petang pada 20 April 2014 hingga jam 6 petang, keesokan harinya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Chee Thim, manakala tertuduh diwakili peguambela, Datuk Mohd Hilmy Samsudin.

Sebelum ini melaporkan, mayat M Gunaseelam ditemui dengan kedua belah tangan dan kakinya diikat pada kerusi kayu oleh sepasang suami isteri yang sedang meninjau untuk membeli lot rumah kedai di tingkat satu berkenaan, dalam kejadian jam 6.15 petang, pada 21 April 2014.

Mangsa diikat, selain mulutnya ditampal pita pelekat sebelum suspek menghubungi ibunya meminta wang tebusan sebanyak RM20,000. - Apakes

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment