Pemandu Pelancong Maut Selepas Jamu Selera
MELAKA - Seorang pemandu pelancong maut dipercayai akibat serangan jantung selepas menjamu selera di sebuah restoran di Jonker Walk, Banda Hilir, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, M Viknes, 43, dilaporkan sedang bertugas membawa pelancong dari Kuala Lumpur ke bandar raya ini.
Difahamkan, mangsa dijadual untuk kembali ke ibu negara pada sebelah petang selepas membawa kumpulan pelancong berkenaan bersiar di beberapa lokasi pelancongan sekitar negeri ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata polis menerima panggilan daripada seorang pekerja restoran memaklumkan seorang lelaki rebah di lantai restoran itu.
"Sejurus anggota polis tiba, terdapat seorang lelaki yang sudah rebah di lantai restoran dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
"Mayat kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi sebentar tadi. - Apakes
0 comments:
Post a Comment