Mayat Bayi Ditemui Dalam Perigi Belum Dituntut
MELAKA - Mayat bayi lelaki yang ditemui dalam perigi, disyaki dibunuh oleh ahli keluarga sendiri di Kampung On Lok, Batang Melaka, Jasin, pada Ahad lalu masih belum dituntut oleh mereka.
Baca: MAYAT BAYI 6 HARI DITEMUI DALAM PERIGI
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata mayat bayi sempurna fizikal berkenaan kini berada di Hospital Melaka.
"Polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat berhubung punca kematian bayi lelaki ini.
"Selain masih menunggu keputusan penuh laporan perubatan mangsa, siasatan berhubung motif sebenar kejadian sedang dijalankan, " katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata pihaknya sudah memanggil beberapa saksi membabitkan jiran suspek, selain meninjau semula ke lokasi kejadian.
"Perkembangan siasatan menunjukkan tanda positif dan kita percaya dapat menyelesaikan kes ini dalam tempoh dua minggu lagi, " katanya.
Ahad lalu melaporkan, bayi berusia enam hari itu ditemui mati di dalam perigi, sedalam enam meter, disyaki dibunuh oleh ahli keluarga sendiri.
Mayat yang masih berbalut kain lampin putih itu ditemui orang awam, sebelum dikeluarkan dari perigi dengan bantuan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari, kira-kira jam 10.30 malam.
Terdahulu, bayi itu dilaporkan hilang jam 7.45 malam, Sabtu lalu oleh bapa mangsa yang hadir ke Balai Polis Batang Melaka di sini. Susulan penemuan mayat bayi itu, polis kemudian menahan enam suspek, termasuk ibu dan bapa bayi berkenaan. - Apakes
0 comments:
Post a Comment