KOTA KINABALU - Seorang remaja perempuan mendakwa dirogol lima remaja lelaki yang dikenali menerusi aplikasi laman sosial WeChat.
Mangsa berumur 15 tahun itu dirogol secara bergilir-gilir oleh suspek berusia antara 13 hingga 18 tahun di sebuah rumah usang di Manggatal, dekat sini, pada 14 Jun lalu.
Bagaimanapun, mangsa hanya membuat laporan berkaitan kejadian Rabu lalu sebelum semua suspek ditangkap dalam tempoh kurang 24 jam.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata siasatan awal mendapati ia berlaku kira-kira jam 3 petang pada 14 Jun lalu, selepas mangsa dibawa oleh lima remaja lelaki yang baru dikenali tiga minggu menerusi WeChat.
"Awalnya mangsa menemui lima suspek itu di sebuah taman di Manggatal sebelum dibawa ke sebuah bangunan usang.
"Mangsa mendakwa dipaksa mengikut suspek ke bangunan berkenaan dengan berjalan. Dia mendakwa cuba melarikan diri namun dihalang suspek," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Chandra berkata, sebaik tiba di bangunan usang itu, mangsa diajak berbual sebelum dipaksa berbaring di lantai dan dirogol secara bergilir-gilir.
Katanya, semua suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga 3 Ogos ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol secara berkumpulan," katanya. - Apakes
0 comments:
Post a Comment