Berang Sisha Dirampas, Lelaki Bawa Pedang Mengamuk
KOTA BHARU - Dua lelaki ditahan kerana merusuh dengan menggunakan senjata di hadapan sebuah kedai di Jalan Bayam malam tadi.
Kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan secara berasingan kira-kira jam 6 pagi dan 10 pagi tadi di sekitar Kota Bharu. Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata dalam kejadian jam 11.40 malam semalam.
Tiga lelaki bersenjatakan dua bilah parang mengamuk dengan merosakkan dua kenderaan pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) ketika menjalankan operasi sisha di sebuah kedai di Kubang Kerian.
"Sebelum itu, penguat kuasa MPKB-BRI membuat rampasan tujuh botol sisha dan 15 kerusi plastik kerana kedai berkenaan tidak mempunyai permit perniagaan yang sah dan saman turut dikeluarkan.
"Sebaik ke lokasi kedua iaitu di Jalan Bayam, pasukan mereka didatangi tiga individu yang menaiki sebuah kenderaan jenis Triton sebelum dua daripada mereka mengamuk di hadapan kedai vape itu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ismail berkata dua lelaki terbabit kemudiannya mengeluarkan dua bilah parang dan bertindak memecahkan tayar kereta dan cermin lori yang digunakan anggota MPKB-BRI.
Susulan daripada insiden tidak puas hati itu juga, mereka turut merusuh di kediaman seorang penguat kuasa MPKB-BRI yang terbabit dalam operasi rampasan peralatan sisha di Jalan Hospital di sini, dengan dua kenderaannya dipecahkan cermin belakang.
"Berdasarkan keterangan seorang saksi, ia dilakukan dua individu bersenjatakan sebilah pedang kira-kira jam 11.20 malam sebaik terdengar bunyi bising di luar rumah dan ternampak mereka sedang memecahkan dua kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir rumah.
"Kita percaya ia dilakukan dua individu sama dan hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian, turut mendapati cermin hadapan rumah mangsa yang berusia 36 tahun itu juga dipecahkan namun tiada sebarang senjata ditemui," katanya.
Dua suspek terbabit ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah seksyen Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 427KK, Seksyen 506KK dan Seksyen 6 (1). - Apakes
0 comments:
Post a Comment