3 Beradik Hiba Sambut Aidilfitri Di Penjara
GEORGETOWN - Sambutan Aidilfitri kepada tiga beradik yang sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Reman Pulau Pinang di sini, hanya 'diraikan' dengan rasa penuh penyesalan dan keinsafan.
Ketiga-tiga adik-beradik lelaki berumur 25 hingga 31 itu dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan pada 2014, selepas mereka terbabit dalam aktiviti samun berkumpulan dengan menyamar sebagai penjawat awam, empat tahun lalu.
Menceritakan semula detik itu, Saiful (bukan nama sebenar), 25, berkata mereka mula terjebak dengan kegiatan samun dengan menyamar sebagai penjawat awam, bermula dengan niat hanya mahu membantu rakan sekerja yang berhadapan masalah dengan rakan serumah, yang juga pendatang asing tanpa izin.
Katanya, sejak itu, keinginan untuk melakukan kegiatan samun menjadi satu ketagihan apabila keuntungan yang diterima mencecah lebih RM5,000 sehari.
"Boleh dikatakan setiap hari kami melakukan kegiatan itu dan ia menjadi sebagai satu hobi, di samping bekerja di sebuah pusat hiburan pada hari minggu.
"Ketika itu kami hanya memikirkan tentang keseronokan memiliki wang dan hidup mewah, namun tidak fikir tentang akibatnya," katanya ketika ditemui dalam Program Jalinan Kasih di Penjara Reman Pulau Pinang di sini, hari ini.
Saiful yang juga anak keenam daripada sembilan beradik, berkata walaupun mereka dapat bertemu dengan keluarga setiap bulan, kegembiraan menyambut Aidilfitri bersama keluarga di dalam penjara tidak sama seperti di luar.
"Kekesalan dan kesedihan itu amat dirasai kerana kami tidak dapat menjaga dan menggembirakan hati kedua ibu bapa yang kini sedang sakit.
"Kami sepatutnya menjadi tulang belakang keluarga kerana kami adalah anak lelaki. Kesilapan yang dilakukan empat tahun lalu menimbulkan rasa kekesalan dan itu amat terkesan dalam hidup kami sepanjang berada dalam penjara," katanya. - Apakes
0 comments:
Post a Comment