Setahun Menghilang
Setahun Menghilang
Nama pelakon senior Rosnah Mat Aris, 62, mula meniti di bibir peminat menerusi drama bersiri Rumah Kedai yang cukup popular satu ketika dulu.
Pelbagai watak sudah dilakonkannya sejak tiga dekad lalu. Daripada antagonis hinggalah komedi.
Bagaimanapun, kelibat pelakon berpengalaman ini sudah jarang menghiasi layar kaca televisyen ketika ini.
Malah, ada pihak mendakwa Rosnah sudah bersara dari bidang lakonan.
Rosnah ketika ditemui menafikan dia sudah meninggalkan bidang seni yang sudah sebati dengan dirinya sejak dulu.
“Sebenarnya, saya berehat selama setahun dari bidang lakonan kerana membantu suami mengusahakan perniagaan tudung untuk menyara kehidupan kami sekeluarga.
“Suami juga membekalkan tudung keluaran kami kepada pelanggan ke seluruh tanah air. Alhamdulilah, sambutan daripada pelanggan juga menggalakkan,” katanya.
Sebagai anak seni, Rosnah juga mengakui, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan bidang lakonan.
“Saya akan terus berlakon selagi masih bernafas. Selagi kesihatan mengizinkan dan fikiran masih waras, saya akan terus berlakon.
“Apabila saya berehat seketika dalam bidang lakonan, ramai yang menghubungi saya dan bertanya ke mana saya menghilang? Suami juga mengingatkan saya tidak boleh menghilang lama dalam bidang seni kerana ramai peminat yang merindui kemunculan di TV,” katanya.
Justeru, selepas setahun berehat, Rosnah kembali mengubat kerinduan peminat dalam bidang lakonan.
“Alhamdulillah, tawaran berlakon tidak pernah putus ketika ini. Antaranya, saya baru selesai penggambaran drama arahan Suhaimi Lua.
Menyusul selepas itu, saya akan terbabit dalam dua projek drama termasuk Bini Muda,” katanya.
Rosnah berkata, dia bertuah kerana sudah mencuba pelbagai watak dalam lakonan sebelum ini .
“Saya mula berlakon pada usia yang lewat iaitu 33 tahun dan tidak sempat memegang watak heroin dalam drama. Saya baru lepas melahirkan anak ketika berlakon dalam drama Rumah Kedai ketika itu.
“Saya juga tidak ada watak diimpikan kerana kerana sudah melakonkan pelbagai watak. Melakonkan babak sedih juga bukan senang senang kerana ia membabitkan emosi dalaman dan bukan menggunakan ubat titis mata,” katanya.
Rosnah juga tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan pelakon muda dalam drama.
“Ramai pelakon baru sekarang seperti mi segera. Ada pelakon senior yang mengadu dengan kerenah yang ditimbulkan pelakon baru di lokasi.
“Saya pula tidak ada masalah untuk bimbing pelakon muda yang juga pelapis dalam bidang seni. Periuk nasi saya dalam bidang seni dan kami juga bagaikan sebuah keluarga yang besar di lokasi,” katanya. - Apakes
0 comments:
Post a Comment