Parah Kena Renjatan Elektrik
Parah Kena Renjatan Elektrik
KUALA LUMPUR - Seorang penyelia pembersihan melecur 80 peratus selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan platform Stesen KTM Sentul di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Suhadi Muhtadi, 47, berasal dari Cheras di sini dikatakan terkena renjatan selepas batang aluminium yang digunakan ketika kerja pembersihan terkena kabel elektrik di situ.
Menurut jurucakap KTM Sentul, mangsa yang juga pekerja kontraktor kebersihan KTMB dikatakan cuba membersihkan tahi burung yang melekat pada tiang platform menggunakan batang aluminium berkenaan.
"Tindakan mangsa menggunakan besi aluminium itu membolehkan arus elektrik mengalir dan merenjat tubuhnya.
"Bagaimanapun, pihak KTM sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu," katanya yang turut memaklumkan mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
Sementara itu, satu rakaman video menunjukkan mangsa dalam keadaan terbaring sambil dibantu petugas perubatan viral di media sosial sejak beberapa jam lalu.
Menerusi komen pada video berdurasi 14 saat itu, ada pengguna Facebook memberitahu mangsa terkena renjatan daripada kabel elektrik bervoltan 25 kilovolt (KV). - Apakes
0 comments:
Post a Comment