Menggunakan Taktik Yang Sama Untuk Melepaskan Diri Daripada Ditahan
Kuala Lumpur - Diserang sawan selepas ‘bertembung’ sekatan jalan. Itu lakonan pelik seorang lelaki yang ditahan dalam operasi sekatan jalan di Jalan Bangsar, di sini, kelmarin.
Lelaki berusia 40-an itu, bagaimanapun dikenali oleh penguat kuasa selepas sering ditahan kerana positif dadah selain bertindak sebagai ‘tokan’ kecil-kecilan.
Difahamkan, lakonan diserang penyakit ‘sawan’ itu sudah beberapa kali dilakukan setiap kali lelaki terbabit diperiksa ataupun cuba ditahan pihak berkuasa.
Malah, ketika diperiksa, lelaki terbabit didapati tidak mempunyai lesen memandu, manakala cukai jalan motosikal yang ditunggangnya juga tamat tempoh.
Menurut sumber Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), lelaki berkenaan sudah beberapa kali ditahan dan sering ‘melakonkan’ aksi sama.
Malah, katanya, sebelum ini mereka menunggu lebih dua jam sebelum dia sedar semula daripada serangan penyakit peliknya, namun ketika pasukan paramedik melakukan pemeriksaan dia disahkan tidak mempunyai masalah kesihatan.
Sementara itu, dalam operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sebanyak 273 kenderaan diperiksa.
Daripada jumlah itu, 153 motosikal dikesan melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada cermin sisi dan pengubahsuaian ekzos.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron berkata, pihaknya sudah bersedia dengan menempatkan anggota dan pegawai di lebuh raya utama di seluruh negara sejak pelancaran Op HRA pada 18 Jun lalu.
Katanya, hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan, 25 peratus daripada kenderaan diperiksa dikesan melakukan pelbagai kesalahan.
“Saya ingatkan kepada pengguna jalan raya supaya memandu mengikut peraturan ditetapkan. Ini kerana tujuh kesalahan utama yang dikesan akan didakwa terus di Mahkamah.
“Antara kesalahan itu adalah menggunakan lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memandu melebihi had laju, langgar lampu merah dan memotong barisan serta melanggar garisan berkembar,” katanya selepas operasi berkenaan.
Nadzri berkata, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan ini boleh didenda sehingga RM3,000 dan boleh dikenakan penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) turut memeriksa 45 warga asing sepanjang operasi berkenaan.
Timbalan Penolong Pengarah JIMWPKL S Sanpall berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menahan tujuh warga asing warga Indonesia dan Nepal selepas mereka gagal menunjukkan dokumen diri yang sah tinggal di negara ini.
Katanya, semua yang ditahan dibawa ke pejabat JIMWPKL untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002). - Apakes
0 comments:
Post a Comment