Maya Matahari Rakam Lagu Baharu Selepas Aidilfitri
Maya Matahari Rakam Lagu Baharu Selepas Aidilfitri
Lebih dua dekad bersandarkan populariti lagu Matahari, penyanyi Maya mula mencari material baharu untuk dirakam.
Entah di mana silapnya, langkah Maya dalam mengukuhkan nama tidak menjadi, hingga dendangan baharu sukar melekat dalam ingatan peminat.
Namun, perbincangan Maya atau nama sebenarnya, Meyanaliza Ruslee dengan syarikat Indigital Music baru-baru ini, memberi harapan baharu. Maya memberitahu, dia bakal merakamkan lagu ciptaan Tam Spider selepas Aidilfitri.
"Tak saya nafikan sukar mendapat lagu yang dapat 'menewaskan' penangan lagu Matahari... ia bukan perkara senang.
"Perbincangan saya dengan Pengarah Urusan Indigital Music, Pauzi Samad atau Poji sebenarnya hampir menemui jalan buntu ketika dia merancang hala tuju kerjaya seni saya.
"Namun, ketika berada di studio milik Tam Spider di Sungai Buloh pada awal Ramadan lalu, aksi komposer itu memetik gitar sambil saya menyanyikan semula lagu Matahari mencetuskan idea lain pula.
"Selepas Tam mendengar semula nyanyian saya, tanpa diduga datang ilham untuk mencipta lagu baharu," katanya.
Teruja untuk merakamkan lagu itu, Maya menambah, lagu berkenaan berentak rancak tetapi belum berjudul.
Maya berharap kerjasamanya dengan Indigital Music akan membuka langkah besar dan membuktikan dirinya terus relevan di persada seni.
"Melihat kerjasama artis lain seperti Haiza, Ezlynn dan Siti Sarah dengan syarikat muzik ini, saya optimis perjalanan dunia seni ini akan terus berkembang," katanya yang pernah muncul dengan lagu duet Setia bersama Saida.
0 comments:
Post a Comment